‘Hidup lagi rupanya permainan berasaskan blockchain ni.’
Juara Liga Perdana Inggeris musim 2019-2020, Liverpool FC menjadi muka baharu kepada platform dagangan non-fungible tokens (NFT) Sorare.
Menurut kenyataan rasmi Sorare, pihaknya bersama Liverpool FC telah menandatangani perjanjian eksklusif berbilang tahun yang akan menyaksikan penghasilan kad trading berbentuk NFT permain ‘The Reds’.
Perkongsian tersebut akan menyaksikan pemilik kad trading NFT peroleh manfaat seperti melawat stadium Anfield , merasai pengalaman hari perlawanan termasuk barangan dan kandungan video eksklusif andai jadi juara permainan dalam talian.
Sebagai makluman, ini bukan kali pertama Liverpool FC melibatkan diri dengan Sorare di mana pada tahun 2021 platform tersebut pernah mengeluarkan kad trading The Reds.
Dalam pada itu, purata jualan NFT Sorare pada bulan Ogos telah menurun kepada $86.16 daripada paras tertinggi $280 semasa Mac.
Kegilaan terhadap NFT sangat rancak berlaku pada awal tahun ini, dan Sorare juga tidak mahu ketinggalan dengan memasukkan sukan ke dalam teknologi blockchain tersebut.
Pada ketika itu, Sorare telah mencapai persetujuan kerjasama bersama beberapa liga sukan terbesar dunia antaranya Major League Baseball (MLB).
Pada sisi berbeza pula, badan pemantau Britain dikatakan sedang menyiasat Sorare atas pertuduhan menjalankan kegiatan perjudian pada permainan dalam talian mereka.
Bagi membalas pertuduhan tersebut, seorang jurucakap Sorare menegaskan bahawa permainan mereka tidak berlandaskan perjudian dan telah mendapatkan khidmat pegawai khas untuk memastikan segala perniagaan dijalankan secara sah.