Baru-baru ini platform pertukaran kripto, Gemini telah membuat tinjauan populasi pelabur kripto dan ia melibatkan 30,000 respondan daripada 20 negara seluruh dunia.
Hasilnya Indonesia dan Brazil, masing-masing menjadi negara paling banyak memiliki pelabur kripto dengan kadar 41%, jauh lebih tinggi meninggalkan Amerika Syarikat (AS) yang cuma 20% dan United Kingdom (UK) pula sekadar 18%.
Pada masa yang sama, seramai 16% respondan AS dan 15% respondan Eropah berpendapat mata wang kripto merupakan pelindung inflasi.
Rekod tersebut jauh berbeza jika dibandingkan dengan tinjauan di Indonesia dan India yang mencatatkan keyakinan sebanyak 64% daripada keseluruhan respondan.
Untuk pengetahuan, Indonesia dan India merupakan antara negara yang berdepan dengan penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS.
Dalam tempoh masa bermula 2011 sehingga 2020, rupee telah susut 17.5% dan rupiah pula susut 50%.
Gemini juga mendapati seramai 79% respondan memiliki aset kripto bermula tahun lepas sebagai pelaburan jangka masa panjang dan 7% pula bercadang untuk berbuat demikian dalam masa terdekat.
Indonesia dan Cukai Kripto
Teka teki terjawab apabila negara yang dipimpin presiden Joko Widodo bakal mengenakan cukai perdagangan kripto sebanyak 0.1%, bersama-sama 0.1% cukai nilai tambah (VAT).
Difahamkan cukai tersebut akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2022.
Jika dibandingkan dengan Dubai dan Singapura, cukai yang dikenakan Indonesia adalah yang paling terendah di dunia.
Sebelum ini timbul desas-desus yang mengatakan Indonesia akan mengharamkan kripto.
Sebaliknya berlaku apabila negara itu sekadar menyekat sebarang penggunaan mata wang kripto sebagai medium pembayaran selain rupiah tetapi boleh didagangkan sebagai komoditi.