Harga emas sedikit berubah pada sesi Asia dengan pergerakan yang terhad memandangkan para pelabur kini berwaspada menjelang mesyuarat polisi FOMC.
Ketika penulisan, logam berharga itu diniagakan mendatar pada $1,675 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit meningkat pada $1,683 per auns.
Penyusutan US dolar telah memberi sedikit ruang buat dagangan emas bernafas, namun raja mata wang itu masih kukuh di paras ketinggian 20 tahun berbanding mata wang utama.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga kekal tinggi walaupun sedikit menyusut, menyaksikannya berlegar di sekitar tahap 3.48%.
Angka inflasi yang lebih tinggi daripada unjuran dan data ekonomi AS yang kukuh pada minggu lepas telah mengukuhkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan melanjutkan pengetatan.
Fed dijangkakan secara meluas akan menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas walaupun pelabur juga meletakkan jangkaan untuk kebarangkalian peningkatan 100 mata asas.
Ini bakal mengehadkan pergerakan emas selanjutnya yang telah pun terimpak kuat gara-gara pengetatan yang dilaksanakan Fed.