Kebimbangan Eropah menjadi kenyataan selepas Rusia memberi amaran bahawa ia tidak akan membuka semula saluran paip gas Nord Stream 1 sehingga sekatan ke atasnya ditarik balik.
Bertitik tolak daripada penutupan untuk penyelenggaraan pada 31 Ogos yang kemudiannya berlanjutan akibat kebocoran minyak, Rusia akhirnya menyatakan niat sebenarnya untuk mengancam Eropah.
Dalam kenyataan terbaharu pada Isnin, pentadbiran Presiden Vladimir Putin telah menyalahkan negara-negara Barat atas tindakannya untuk tidak membuka semula saluran paip tersebut.
Menurut jurucakap Kremlin, sekatan Barat telah menyukarkan mereka untuk mendapatkan bahagian yang diperlukan dalam kerja penyelenggaraan pada Nord Stream 1.
Minggu lalu, syarikat gergasi tenaga negara Gazprom berkata bahawa kebocoran minyak dalam turbin pada saluran paip Nord Stream 1 adalah punca di sebalik penutupan itu.
Bagaimanapun, alasan tersebut dipertikaikan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan firma Jerman, Siemens yang menyelenggara turbin yang menyatakan kebocoran tersebut biasanya tidak menjejaskan operasi.
Ekoran tindakan Rusia, harga gas Eropah melonjak lebih 30% pada Isnin, sekali gus memburukkan lagi situasi yang bakal dihadapi di benua itu menjelang musim sejuk yang akan tiba.