Seusai pengumuman Presiden Rusia Vladimir Putin yang mengerahkan rakyat untuk ‘berjuang’ di Ukraine, terdapat laporan mengatakan ramai yang cuba meninggalkan negara itu.
Pada Rabu, Putin telah mengumumkan pengerahan sebahagian tentera, di mana 300,000 orang telah dipanggil untuk berkhidmat dalam perang di Ukraine.
Namun sejak itu, dilaporkan bahawa ramai rakyat Rusia berusaha untuk keluar daripada negara itu.
Sky News melaporkan harga untuk beberapa tiket penerbangan dari Moscow melonjak melebihi $5,000 untuk penerbangan sehala ke lokasi asing terdekat, dengan kebanyakannya habis terjual untuk hari-hari akan datang.
Trafik juga meningkat di lintasan sempadan antara Rusia dengan Finland dan Georgia, namun kerajaan Finland sedang mempertimbangkan cara untuk mengurangkan kemasukan mendadak tersebut.
Sementara itu, BBC melaporkan di sempadan dengan Georgia, barisan kenderaan dilaporkan terbentuk kira-kira 5km di pusat pemeriksaan Upper Lars.
Sebagai pengetahuan tambahan, Georgia adalah salah satu daripada beberapa negara jiran yang boleh dimasuki Rusia tanpa perlu memohon visa.
Walaupun begitu, Rusia menafikan laporan tentang pelarian tersebut dan mengatakan ia sengaja diperbesar-besarkan.
Tambahnya, 10,000 orang telah menawarkan diri untuk berperang walaupun surat panggilan mereka belum tiba.