Bank Pusat New Zealand (RBNZ) mengejutkan pelabur selepas menaikkan kadar faedah melebihi jangkaan pasaran pada mesyuarat polisi terbaharunya pada sesi Asia.
Dengan peningkatan sebanyak 50 mata asas kepada 1.50% dalam kadar faedah, RBNZ mengabaikan jangkaan meluas pasaran untuk kenaikan hanya 25 mata asas.
Ini merupakan kenaikan kadar keempat berturut-turut daripada bank pusat itu selepas peningkatan 25 mata asas pada setiap mesyuarat Oktober, November dan Februari.
Susulan daripada keputusan tersebut, RBNZ mengatakan tindakannya untuk ke arah dasar yang neutral lebih awal akan mengurangkan risiko jangkaan inflasi yang meningkat.
RBNZ menyatakan bahawa indeks harga pengguna (CPI) tahunan dijangka memuncak sekitar 7% pada suku pertama tahun ini, dan jalan yang paling tepat untuk mengatasinya adalah dengan meningkatkan kadar faedah lebih banyak sekarang.
Di peringkat global, aktiviti ekonomi terus meningkatkan tekanan inflasi, di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan global yang berterusan didorong oleh Covid-19 terutamanya di China.
Selain itu, serangan Rusia ke atas Ukraine juga menambah kepada cabaran ini yang menyebabkan harga komoditi dan tenaga dunia meningkat.
Dalam pada itu, langkah agresif ini juga menyediakan lebih banyak fleksibiliti dasar memandangkan persekitaran ekonomi global yang sangat tidak menentu, tambah bank pusat itu lagi.
Dolar kiwi memaparkan peningkatan sebagai reaksi awal kepada keputusan mengejutkan bank pusat dengan harga menyentuh paras 0.6900 berbanding US dolar.