Selepas restoran makanan segera Shiba Inu dilancarkan di Itali, kini restoran Doge Burger pula dibuka di Dubai.
Difahamkan restoran tersebut dilancarkan mengikut konsep mata wang Dogecoin (DOGE) kerana mahu meluaskan lagi penerimaan aset meme ini di negara itu.
Bagaimanapun, Doge Burger tidak memiliki restoran fizikal. Pelanggan hanya boleh memesan makanan dalam talian dan pihak mereka akan hantar terus ke rumah pelanggan!
Restoran ini dilancarkan oleh rantaian restoran maya, Rocket Kitchen yang terkenal dengan konsepnya tanpa bangunan kedai sebenar.
Percaya atau tidak, pelancaran restoran ini adalah berdasarkan keuntungan pelaburan pengasasnya dalam mata wang DOGE.
Sudah tentulah restoran ini menerima pembayaran dalam mata wang kripto, misalnya: DOGE, Binance Coin (BNB), Crypto.com Coin (CRO), XRP, USDT, dan Shiba Inu (SHIB).
Sebagai rekod, Doge Burger bukanlah restoran pertama yang menerima pembayaran dalam kripto. Pada 2014, sudah ada perniagaan terlebih dahulu menerima kripto sebagai medium pembayaran.
Adakah Doge Burger mahu menyaingi McDonald’s selepas Elon Musk dan pengasas Dogecoin, Billy Markus ‘mengusik’ entiti itu untuk menerima DOGE?
Ketika penulisan, DOGE didagangkan pada $0.13, susut lebih 9% dalam 24 jam.