Ringgit Malaysia (RM) melanjutkan momentum positif berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) ekoran pemulihan sentimen terhadap mata wang tempatan.
Pada jam 9 pagi, nilai RM naik 4.2220/2260 berbanding USD dari penutupan Rabu pada 4.2290/2320.
Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan nota tempatan akan kekal dalam dagangan pada paras 4.23 berbanding USD pada hari ini ekoran ketidaktentuan pasaran.
Terangnya, ekonomi tempatan dijangka kekal berdaya tahan dengan data perdagangan borong dan runcit terkini memperlihatkan peningkatan 8.5% pada RM117.6 bilion pada bulan Februari, dan secara tidak langsung menyaksikan petumbuhan sektor berorentasikan perkhidmatan akan bertambah pantas ekoran pembukaan semula sektor ekonomi.
Selain itu, indeks-indeks ekuiti utama di Amerika Syarikat (AS) merekodkan keuntungan sederhana semalam sementara sekuriti Perbendaharaan AS jangka pendek memperlihatkan hasil rendah walaupun indeks harga pengeluar (PPI) AS lebih tinggi dari ramalan.
PPI AS naik 11.2% pada Mac dari 10.4% pada Februari sementara konsensus menunjukkan peningkatan 10.6%.
Dalam pada itu, RM didagangkan sedikit rendah berbanding sejumlah mata wang utama lain.
RM susut berbanding dolar Singapura (SGD) pada 3.1117/1151 daripada Rabu pada 3.1009/1033 dan lemah berbanding Yen Jepun pada 3.3631/3665 daripada 3.3548/3574.
Di samping itu, RM juga susut berbanding Pound British pada 5.5363/5416 daripada 5.5028/5067 sementara turun berbanding Euro pada 4.5948/5992 daripada 4.5813/5845.