‘Capital A perlu goyang?’
Industri penerbangan tambang murah negara dirancakkan dengan kehadiran MYAirline yang berjaya membuat penerbangan sulungnya ke Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi dari Kuala Lumpur.
Syarikat yang diketuai oleh Rayner Teo itu selamat mendaratkan kapal yang merekodkan muatan melebihi 80% ke Kota Kinabalu semalam, menandakan permintaan perjalanan tambang murah domestik kekal tinggi.
Teo juga menyatakan kejayaan penerbangan sulung MYAirline menjadi titik tolak yang akan merangsang semula aktiviti pelancongan Malaysia dengan syarikat menawarkan tambang murah pilihan warganegara.
Berbekalkan pesawat Airbus A320-200, MYAirline beroperasi dengan membuat 2 penerbangan sehari ke Kuching, Kota Kinabalu serta Langkawi dan akan membuat 3 penerbangan sehari bermula 23 Disember kelak.
Selain itu, MYAirline juga merancang untuk menambah destinasi domestik lain seperti Kota Bharu, Penang dan Sibu pada suku pertama (Q1) 2023 dan menjadualkan penerbangan ke rantau Asean pada Q2.
Dalam pada itu, penampilan pertama MYAirline turut mendapat sambutan baik dari pihak berkuasa pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abdul Muttalib dan ahli lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman.
Masing-masing menzahirkan ucapan tahniah dengan menggariskan penglibatan MYAirline akan membantu aktiviti pelancongan negara kembali rancak selepas hampir 2 tahun disekat.