Platform perdagangan kripto, Coinbase mungkin benar-benar bersalah apabila tiga pelabur kripto (plaintif) menfailkan saman terhadapnya atas tuduhan pengoperasian secara haram.
Plaintif dikenali sebagai Christopher Underwood, Louis Oberlander, dan Henry Rodriguez mendakwa defendan: Coinbase Global, Coinbase, dan CEO Brian Armstrong telah melanggar undang-undang negeri dan persekutuan kerana tidak memberi amaran risiko pembelian kripto terhadap penggunanya.
Lantaran itu mereka menuntut Coinbase untuk beri pampasan bernilai $5 juta (RM21 juta) kepada penggunanya atas kerugian yang ditanggung, termasuk beberapa isu lain.
Melalui pemfailan saman itu juga mereka mahu pihak mahkamah mengarahkan Coinbase untuk menghentikan operasi penjualan lebih 70 token, termasuk Solana (SOL), Dogecoin (DOGE), dan Polygon (MATIC) yang disenaraikan di platform tersebut.
Dakwaan plaintif mewakili pengguna Coinbase yang lain mengingatkan kepada amaran pengerusi Securities and Exchange Commission (SEC), Gary Gensler pada 15 September lalu.
Ketika itu Gensler mendedahkan status Coinbase yang tidak memiliki lesen sah untuk beroperasi sebagai platform perdagangan kripto dan pernah mengugut untuk menyaman platform tersebut kerana program ‘Lend’.
Pada masa yang sama, figura itu juga mendakwa kebanyakan aset kripto mungkin sekuriti tidak berdaftar tanpa pengawasan yang diperlukan.
Sama seperti yang dikemukakan oleh pihak plaintif dalam saman itu – 79 token yang disenaraikan Coinbase adalah aset sekuriti tidak berdaftar – tetapi berdasarkan rekod Class Action, dakwaan tersebut gagal dibuktikan.
Sehingga kini Coinbase tidak memberi sebarang respons dengan saman terbaharu.
Apa-apa pun, situasi ini sedikit sebanyak membimbangkan pasaran kripto kerana ini bukanlah kali pertama Coinbase mendapat perhatian pihak penyelia.