Presiden Joe Biden dijangka akan mengumumkan langkah baharu terhadap Rusia, di mana Amerika Syarikat, bersama-sama dengan negara G7 dan Kesatuan Eropah (EU) bertindak membatalkan status ‘negara paling disukai’ untuk Moscow.
Biden dilaporkan akan membuat pengumuman tersebut pada hari Jumaat dan Kongres kemudiannya akan memperkenalkan undang-undang, menurut sumber yang memberitahu Reuters.
Setiap negara juga mungkin melaksanakan langkah ini berdasarkan proses mereka tersendiri.
Menurut sumber itu lagi, langkah ini dibuat sebagai membuka peluang kepada Amerika dan sekutunya untuk mengenakan tarif terhadap pelbagai jenis barangan Rusia yang akan meningkatkan lagi tekanan ke atas ekonomi negara itu.
Langkah tersebut hadir ketika pegawai AS dan Eropah mendakwa Rusia melakukan jenayah perang kerana pengebomannya terhadap orang awam di bandar-bandar Ukraine.
Tindakan mengeluarkan status “Hubungan Perdagangan Normal Kekal” Rusia dengan Amerika Syarikat dilihat akan menambahkan tekanan ke atas Presiden Vladimir Putin untuk menamatkan konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, Putin telah memberi amaran bahawa negara Barat akan menerima pembalasan atas sekatan yang dikenakan ke atasnya serta turut meyakinkan rakyatnya bahawa negara itu boleh bertahan dalam ‘perang ekonomi’ dan akan bangkit dengan lebih kuat.