Dagangan minyak mentah meneruskan lonjakan lebih tinggi pada Rabu di tengah kebimbangan yang meningkat terhadap gangguan bekalan global berikutan konflik Rusia dan Ukraine semakin parah.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan kukuh pada $110 setong selepas melonjak hampir 10% pada Selasa, sekali gus membawanya ke paras ketinggian terbaharu sejak Julai 2014.
Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat lebih kuat pada paras tertinggi terbaharu sejak September 2013 dengan didagangkan pada $109 setong setelah lonjakan lebih 10% pada sesi sebelum ini.
Tindakan Amerika Syarikat melepaskan 30 juta tong daripada rizab minyaknya dan 60 juta tong daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), mengecewakan pasaran kerana ia dilihat tidak dapat menampung impak besar yang dicetuskan oleh perang Ukraine dan Rusia.
Malah, laporan daripada Institut Petroleum Amerika (API) yang menunjukkan kejatuhan tidak dijangka dalam bekalan minyak mentah AS juga menyokong pengukuhan harga lebih tinggi.
Menjelang mesyuarat yang akan diadakan pada hari ini, OPEC+ telah memberi isyarat bahawa mereka akan kekal dengan rancangan semasa untuk pengeluaran tambahan sebanyak 400,000 tong sehari meskipun dihimpit tekanan oleh perang Rusia-Ukraine.