Emas melonjak ke paras tertinggi hampir enam bulan susulan bacaan inflasi Amerika Syarikat yang lebih lemah mengukuhkan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) memperlahankan kenaikan kadar faedah.
Terbaharu, indeks harga pengguna (CPI) tahunan AS dilaporkan meningkat 7.1% pada bulan November iaitu lebih rendah daripada unjuran peningkatan 7.3%.
Bacaan yang dicatatkan itu juga menunjukkan penurunan daripada bacaan bulan Oktober pada 7.7%, menandakan kemerosotan untuk 5 bulan berturut-turut dari puncak tertingginya yang direkodkan pada Jun, 9.1%.
Hal ini sekali gus memacu lonjakan harga emas dari paras terendah satu minggu ke puncak tertinggi baharu pada $1,824 per auns sebaik sahaja data dikeluarkan.
Bagaimanapun, pada sesi Asia hari ini logam kuning itu mengurangkan sedikit keuntungan untuk didagangkan pada $1,810 per auns sebagai tanda kewaspadaan pelabur menjelang mesyuarat polisi FOMC yang berlangsung awal pagi Khamis nanti.
Rentetan daripada angka inflasi yang terus mereda, pelabur menguatkan jangkaan untuk kenaikan kadar sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat terbaharu Fed.