‘Kesempatan di sebalik kesempitan.’
Pengumuman penamatan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak telah membuatkan saham syarikat ternakan burung domestik melonjak tinggi.
Dipercayai bahawa pelabur memanfaatkan kesempatan di sebalik pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang akan menamatkan kawalan harga terhadap ayam bermula 1 Julai.
Ditambah lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri turut menyatakan penghapusan subsidi penternak ayam.
Rententan itu ketika sesi penutupan Bursa semalam, saham LTKM melonjak 6 sen (5.22%) pada RM1.21, Teo Seng Capital Bhd mencanak 4 sen (5.19%) pada 81 sen sementara CCK Consolidated Holdings Bhd melompat 3 sen (5.36%) pada 59 sen.
Juga, saham Leong Hup International Bhd memacu 2 sen (3.88%) pada 53.5 sen, TPC Plus Bhd menambah 2 sen (10%) pada 22 sen dan Sinmah Capital Bhd memekar 2 sen (20%) pada 12 sen.
Tidak terkecuali, Lay Hong Bhd naik 1.5 sen (5.56%) pada 28.5 sen, Malayan Flour Mills Bhd tambah 1.5 sen (2.44%) pada 63 sen manakala PWF Corporation Bhd tumbuh 1.5 sen (2.8%) pada 55 sen.
Dalam pada itu, buat masa ini sehingga 1 Julai harga siling ayam standard kekal pada RM8.90 sekilogram di Semenanjung Malaysia.
Di sisi berbeza, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, beri bayangan bahawa kumpulan penternak bercadang menaikkan harga ayam antara RM10 ke RM12 sekilogram.
Sementara itu, nota MIDF Research menjangkakan penghapusan subsidi akan menyebabkan kadar inflasi makanan meningkat.
Hal ini kerana situasi terkini dengan harga komoditi global memuncak akan memberi tekanan kepada permintaan makanan.
Selain itu, MIDF turut menggariskan harga makanan meningkat 3.9% tahun ke tahun dalam 4 bulan pertama 2022 berbanding purata kenaikan inflasi makanan sebanyak 2.9% setahun dari 2011 hingga 2019.
Dan, andai bekalan makanan domestik bertambah keruh maka inflasi utama akan cecah kemuncak 5.8%.