Pembuat dasar Federal Reserve (Fed) Neel Kashkari meluahkan ketakutan terbesarnya adalah Fed dan pasaran kewangan memandang rendah terhadap tekanan inflasi, dan mereka memerlukan kenaikan kadar yang lebih agresif untuk menanganinya.
Jika inflasi kekal pada tahap yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan, maka bank pusat perlu menjadi semakin agresif dengan melaksanakan pengetatan lebih lama untuk menurunkan semula tekanan harga, ujar Kashkari.
Neel Kashkari yang juga merupakan pembuat dasar paling hawkish itu berpandangan bahawa Fed perlu menaikkan kadar faedahnya kepada dua lagi mata peratusan penuh menjelang akhir tahun depan.
Dalam kata lain, kadar faedah yang kini dalam julat 2.25%-2.50% perlu ditingkatkan kepada sekitar 4.40% pada 2023.
Ujar beliau, ia sangat jelas buat masa ini bahawa Fed perlu mengetatkan dasar monetari.
Walaupun begitu, sekiranya inflasi berada pada 4%, bank pusat itu mungkin mempertimbangkan untuk perlahankan kenaikan kadar bagi memastikan ia tidak keterlaluan dan menyebabkan ekonomi mengalami kemelesetan.
Fed perlu melihat bukti yang kukuh bagi memastikan harga pengguna di Amerika Syarikat berada di landasan untuk turun ke sasaran bank pusat 2%.