‘Main sorok-sorok fakta ni yang tak best. Entah-entah berapa ribu mati tapi puluh je dilaporkan.’
Pelonggaran dasar sifar-Covid di China tampak membuka peluang untuk saham syarikat sarung tangan getah tempatan melonjak, mengiringi peningkatan kes jangkitan di sana.
Umumnya, kerajaan China mulai melonggarkan dasar selepas berlaku demonstrasi pada bulan lalu dan hasilnya berlaku peningkatan kes mendadak.
Menurut sumber, terdapat 393,067 kes melibatkan Covid pada 22 Disember lalu namun data sebenar tidak dapat disahkan kerana kerajaan China tidak lagi mengeluarkan statistik rasmi.
Sungguhpun begitu, daripada pandangan mata kasar jelas bahawa terdapat peningkatan kes jangkitan dengan firma kesihatan milik Britain di sana iaitu Airfinity mengesahkan berlakunya 5,000 kematian sehari di China.
Maka tidak hairan andai saham bertemakan kesihatan dan sarung tangan getah kembali menjadi perhatian lebih-lebih lagi faktor musim sejuk di Barat sering dikaitkan dengan penularan penyakit.
Pada sesi dagangana awal pagi Selasa, saham Top Glove muncul kaunter ke-2 paling aktif dengan 35.9 juta saham bertukar tangan untuk membawa lonjakan harga sebanyak 7.93% pada 88.5 sen.
Careplus Group Bhd turut mengalami lonjakan sebanyak 7.61% pada 49.5 sen dengan 14.9 juta saham bertukar tangan sementara Hartalega Holdings Bhd menokok 5.92% pada RM1.79 dengan 8.6 juta saham didagangkan.
Selain itu, Supermax Corp Bhd turut menyaksikan 6.3 juta saham bertukar tangan untuk membawa harga meningkat 7.7% pada 90 sen.