Presiden El Salvador Nayib Bukele mengumumkan bakal melakukan pembelian Bitcoin (BTC) untuk setiap hari mulai esok setelah sekian lama menyepikan diri.
Kenyataan tersebut dikongsikan dalam satu ciapan di akaun Twitternya pada tengah hari tadi.
We are buying one #Bitcoin every day starting tomorrow.
— Nayib Bukele (@nayibbukele) November 17, 2022
Terdahulu, undang-undang BTC El Salvador yang dikuatkuasakan pada tahun lepas telah membawa keuntungan besar buat negara itu dengan menjana hampir $375 juta dalam BTC.
Namun, disebabkan ketidaktentuan pasaran pada ketika ini, ia mengalami kerugian lebih $60 juta.
Sungguhpun IMF dan Bank Dunia beberapa kali memberi amaran kepada presiden itu untuk berhenti melakukan sebarang pertaruhan BTC, beliau sebagai penyokong tegar BTC tetap yakin bahawa kripto akan membawa kebaikan kepada kewangan negara.
Ini menunjukkan keberanian Presiden Bukele untuk pelaburan jangka panjang walaupun negara itu telah mengalami kerugian ketara ketika harga BTC mengalami kejatuhan drastik disebabkan krisis Terra dan FTX.
Selain memegang BTC, beliau juga berhasrat memanifestasikan infrastruktur ekonomi BTC serta merancang penubuhan Bitcoin City yang kini masih belum menjadi kenyataan.
Namun, Luis Membraño, seorang ahli ekonomi Salvador berpandangan bahawa Presiden Bukele tidak akan dapat merealisasikan impiannya jika mewujudkan ekonomi politik yang bertentangan dengan nasihat IMF.
Dalam pada itu, agensi penarafan Fitch* telah menurunkan kadar kredit El Salvador susulan jangkaan negara tersebut akan gagal membayar hutangnya pada bulan Januari 2023.
*Sebuah syarikat yang menilai kekuatan kewangan syarikat dan entiti kerajaan.