Perkembangan terbaharu mengenai krisis geopolitik terus menambah kelegaan buat dunia selepas Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan penamatan latihan ketenteraannya di Crimea.
Dengan berkongsi video yang menunjukkan pasukan tenteranya sedang meninggalkan kawasan tersebut dan peralatan ketenteraan juga dibawa pergi, ia telah mengurangkan kemungkinan bahawa Moscow akan menyerang Ukraine.
Terdahulu, Amerika Syarikat memberi amaran bahawa serangan Moscow ke atas Kiev akan tetap berlaku meskipun mereka telah mengumumkan sebahagian pasukan tenteranya telah kembali ke pengkalan dari sempadan Ukraine.
Sementara itu, beberapa siri serangan siber telah berlaku terhadap laman web tentera Ukraine, di mana sekurang-kurangnya 10 laman web Ukriane tidak dapat diakses akibat serangan tersebut.
Ini termasuk laman web kementerian pertahanan, kebudayaan dan luar negeri serta dua bank negara terbesar di Ukraine.
Seorang diplomat Eropah mengatakan serangan tersebut adalah salah satu komponen strategi Rusia yang pernah digunakan dalam konfrontasi tentera yang lalu dengan Georgia dan Ukraine.