Pengeluar minyak terbesar dunia, Saudi Aramco masih melihat pasaran minyak global yang ‘ketat’ di tengah-tengah prospek pemulihan permintaan dari China.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin Nasser berkata bahawa kapasiti ganti pengeluaran minyak buat masa ini adalah sangat rendah memandangkan dunia masih bergantung tinggi terhadap bahan api fosil.
Ujarnya lagi, jika China membuka sempadan serta ekonomi mula bertambah baik atau industri penerbangan meningkatkan permintaan terhadap lebih banyak bahan api, kapasiti ganti itu akan terhapus.
Ekoran itu, beliau melontarkan amaran bahawa harga minyak boleh melonjak dengan cepat sekali lagi.
China, yang juga merupakan pengimport minyak terbesar di dunia telah mula melonggarkan sekatan Covid-19nya bulan ini setelah langkah kawalan yang ketat membangkitkan kemarahan rakyat.
Para pemimpin China kini memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan semula ekonomi negara itu yang terjejas susulan penutupan yang berterusan.
Ini sekali gus menguatkan jangkaan untuk pemulihan permintaan bahan api yang lebih kuat dari pengguna utama minyak dunia itu pada tahun 2023.