Pengukuhan US dolar berterusan sehingga ke sesi Eropah meskipun kenaikan yang dicatatkan telah terhenti selepas mata wang gergasi itu mencapai paras tertinggi terbaharu 20 tahun.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback diniagakan stabil pada 109.23 berbanding mata wang utama.
Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell menegaskan akan meneruskan kenaikan kadar faedah dan membiarnya kekal tinggi untuk beberapa waktu bagi memastikan inflasi turun ke sasaran 2% bank pusat.
Sama seperti Fed, Bank Pusat Eropah (ECB) juga tidak ketinggalan dalam menawarkan petunjuk hawkish mengenai peningkatan kadar yang lebih besar pada mesyuarat polisi September.
Bagaimanapun disebabkan US dolar yang lebih kukuh, mata wang euro gagal memanfaatkan kenyataan ECB untuk mencatatkan keuntungan sebaliknya kekal lemah di bawah harga pariti berbanding USD.
Dagangan mata wang pound pula terus terperosok ke titik terendah baharu sejak Mac 2020, meletakkannya kekal didagangkan lemah pada Isnin di tengah-tengah penutupan pasaran di UK sempena cuti umum.
Turut mengalami nasib yang sama adalah dagangan mata wang komoditi, dolar Aussie dan New Zealand yang menjunam ke paras terendah satu bulan berbanding dolar greenback.
Sementara dagangan dolar Kanada juga susut lebih rendah walaupun harga minyak mempertahankan pengukuhannya di tengah-tengah lautan merah dalam pasaran.