Harga minyak kembali melonjak lebih tinggi susulan tindakan Rusia mengerahkan pasukan tenteranya ke dua wilayah pro-Rusia di timur Ukraine selepas mengiktiraf kemerdekaannnya pada Isnin.
Tindakan tersebut telah menimbulkan kecaman antarabangsa sehingga mendorong Amerika Syarikat dan sekutunya yang lain merancang untuk mengumumkan sekatan baharu ke atas Rusia.
Presiden AS Joe Biden telah mengeluarakn perintah eksekutif untuk menghentikan aktiviti perniagaan dan mengharamkan import semua barangan dari dua wilayah tersebut.
Dagangan minyak mentah yang sebelum ini ditekan oleh kemungkinan kesepakatan dalam perjanjian nuklear Iran akan dicapai, kembali meneruskan peningkatan susulan ketegangan Rusia dan Ukraine yang semakin memuncak.
Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat meningkat tinggi pada $93.30 setong, sementara minyak Brent pula meroket pada $97.20 setong menjelang penghujung pasaran sesi Asia, tahap tertinggi sejak September 2014.
Pelabur kini tidak menolak kemungkinan bahawa dagangan minyak mentah dunia akan meningkat ke paras tertinggi sepanjang masa walaupun masih jauh dari puncak $147 yang pernah dicapainya pada Julai 2008.
Pada tahun 2008, harga minyak hanya mengambil masa lima bulan untuk melonjak dari paras semasa dan memecah rekod terbaharu.