Emas mendapat sokongan untuk didagangkan lebih tinggi pada pembukaan sesi Asia berikutan dagangan US dolar yang menyuramkan.
Ketika penulisan, spot emas sedikit meningkat pada $1,667 per auns, manakala niaga hadapan emas pula positif pada $1,676 per auns.
Permulaan kurang baik buat US dolar di awal minggu, menyaksikannya didagangkan sedikit susut berbanding kebanyakan mata wang utama.
Bagaimanapun, terlalu awal untuk menentukan arah pergerakan sebenar buat raja mata wang itu memandangkan ia masih disokong oleh jangkaan pengetatan berterusan oleh Federal Reserve (Fed).
Data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang menjadi pilihan Fed untuk ukuran inflasi, menunjukkan peningkatan lebih besar daripada dijangkakan dengan peningkatan 6.2% tahun ke tahun.
Ini sekali gus menguatkan lagi alasan buat Fed untuk meneruskan kenaikan kadar faedahnya bagi mengembalikan inflasi ke sasaran 2%.
Penting buat pelabur emas pada minggu ini, iaitu laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat untuk melihat tahap kesihatan pasaran buruh setelah beberapa langkah kenaikan agresif telah diambil oleh Fed.