Kekuatan US dolar terus mendorong kebanyakan mata wang utama lebih rendah pada sesi Eropah, menolak dagangan euro ke bawah paras harga pariti (€1=$1) untuk kali kedua tahun ini.
Euro terus berada di bawah tekanan penjualan berikutan dagangan US dolar yang lebih kuat, di samping krisis tenaga turut menambahkan faktor dorongan untuk mata wang itu tergelincir lebih jauh.
Rusia mengumumkan rancangannya pada hari Jumaat lalu bahawa ia akan menutup sepenuhnya aliran gas saluran paip Nord Stream 1 ke Eropah selama tiga hari pada 31 Ogos hingga 2 September.
Atas alasan untuk ‘penyelenggaraan’, tindakan ini dilihat akan menghimpit pasaran gas Eropah sekali lagi yang sudah sedia terkesan dengan penutupan sebelum ini.
Dalam pada itu, jangkaan hawkish untuk kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) terus mendukung pengukuhan mata wang gergasi US dolar yang turut disusuli dengan hasil bon AS 10 tahun yang lebih tinggi.
Perbezaan dasar monetari antara Fed dan Bank of Japan (BOJ) terus mendorong kejatuhan mata wang yen ke paras terendah satu bulan.
Turut mengalami tekanan yang sama adalah mata wang yuan selepas bank pusat China memotong kadar utama pinjaman satu dan lima tahun pada hari Isnin. Langkah ini dibuat susulan pengurangan kadar pinjaman jangka sederhana setahun yang dibuat minggu lalu.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand mencatat sedikit peningkatan, di mana mata wang antipodean Aussie mendapat sokongan daripada lonjakan harga komoditi bijih besi Dalian dan tembaga.