Permulaan dagangan sesi Eropah menyaksikan penyusutan dolar greenback yang mungkin dipengaruhi oleh pengambilan untung oleh pelabur menjelang perdagangan akhir minggu.
Ketika penulisan, indeks dolar merosot dari puncak tertinggi 20 tahun dengan didagangkan pada 104.50 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Walaupun begitu, faktor fundamental masih menyokong US dolar untuk mempertahankan pengukuhannya di tengah-tengah ketiadaan data ekonomi utama melainkan indeks sentimen pengguna AS untuk bulan Mei yang akan dikeluarkan pada sesi New York.
Sementara itu, mata wang yen berada di landasan untuk menamatkan kerugian yang dialami 9 minggu berturut-turut berikutan kesuraman prospek pertumbuhan global telah membantu meningkatkan safe-haven itu pada minggu ini.
Menyingkap kembali faktor yang mempengaruhi pasaran pada minggu ini, jangkaan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat terutamanya Federal Reserve (Fed) telah meningkatkan kebimbangan terhadap pertumbuhan global.
Inflasi AS kekal berada di tahap tertinggi 40 tahun pada April walaupun mencatatkan sedikit penurunan daripada bulan Mac, yang memperlihatkan Fed akan terus melaksanakan kenaikan untuk memerangi lonjakan harga.
Euro pula merosot ke tahap terlemah 5 tahun berikutan kekuatan US dolar, tetapi para penggubal dasar Bank Pusat Eroah (ECB) semakin menyerlahkan keperluan untuk kenaikan kadar segera.
Selain itu, mata wang pound terus tenggelam berikutan pertumbuhan UK yang perlahan pada Mac, sekali gus menyokong amaran Bank Pusat England (BOE) bahawa ekonomi negara itu menghadapi risiko kemelesetan.