Faktor sekatan dari Amerika Syarikat (AS), keruntuhan sistem perbankan dan ketandusan dana asing serta tunai sejak Afghanistan di ambil-alih oleh Taliban telah membuka jalan kepada mata wang kripto untuk berkembang di negara tersebut.
Menurut data dari Chainalysis, sejak pengambil-alihan Taliban pada Ogos tahun lalu, penggunaan kripto di negara itu melonjak dan Afghanistan tersenarai dalam kalangan 20 negara teratas yang mengamalkan sistem mata wang digital tersebut.
Data daripada Google juga menunjukkan peningkatan carian ‘bitcoin’ dan ‘kripto’ oleh warga Afghanistan sejak kebelakangan ini.
Sanzar Kakar, seorang warga Afghanistan Amerika, yang menguruskan platfrom kripto di Afghanistan, menyatakan penyebab utama kepada ‘revolusi’ tersebut adalah kerana sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap kumpulan Taliban dan Haqqani.
Sekatan tersebut telah menyebabkan bank-bank di Afghanistan mengalami kejatuhan apabila AS telah merampas aset bernilai $7.1 bilion dan menamatkan pemindahan mata wang AS.
Situasi bertambah buruk lagi apabila syarikat-syrikat di Poland dan Perancis membatalkan kontrak pencetakan dan penghantaran mata wang Afghanistan.
Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT) turut menggantung semua perkhidmatannya di Afghanistan.
Hasilnya, ekonomi Afghanistan yang sudah parah kerana perang, di mana 80% daripada keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) datang daripada dana bantuan asing dan derma, berada diambang kehancuran.
Namun, kripto telah muncul sebagai penyelamat bagi warga Afghanistan yang sedang bergelut.
Seorang pemuda, Farhan Hotak, menceritakan bagaimana beliau menggunakan kripto sebagai sumber pendapatan utama bagi membantu diri dan keluarga lari ke Pakistan untuk mencari perlindungan.
Hujarnya, selepas Taliban mengambil-alih Afghanistan, penggunaan kripto merebak bagai ‘wabak’ ekoran ketiadaan cara lain untuk peroleh wang.
Sebuah badan bukan kerjaan (NGO), Digital Citizen Fund yang diasaskan oleh Roya Mahboob pada 2013 juga dilihat mengaplikasi penggunaan kripto, dengan menghantar wang digital kepada keluarga di Afghanistan untuk keperluan harian.
Terang Mahboob semasa ditemu-ramah BBC, kripto sudah menjadi sebahagian kepada gaya hidup warga Afghanistan dengan semua orang bercakap mengenainya setiap hari.