Berita mengenai sekatan Covid-19 yang meluas di China kembali meresahkan peniaga minyak, membuatkan dagangan komoditi hitam itu suram pada Jumaat.
Melangkah masuk ke sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent susut 0.9% pada $93 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula jatuh 1.1% pada $87 setong.
Bagaimanapun, kedua-dua penanda aras masih mengekalkan keuntungan mingguan untuk mengakhiri dagangan minggu ini dengan Brent naik lebih 2% dan WTI AS pula menokok 3%.
Komoditi hitam itu sebelum ini meningkat susulan bacaan yang memberangsangkan dalam data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat pada suku ketiga.
Meskipun begitu, harga kembali merosot susulan laporan mengenai sekatan Covid-19 kembali berkuatkuasa di beberapa bandar China, menyebabkan berjuta-juta rakyat terkurung.
China melaporkan 1,506 jangkitan pada 27 Oktober, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Jumaat, meningkat daripada 1,264 kes baharu sehari sebelumnya.
Dengan berjuta-juta rakyat kembali terkurung, pasaran kini bimbang bahawa permintaan dari pengguna utama minyak dunia itu akan terus merosot.