Pergerakan mendatar dipersembahkan dolar greenback susulan keuntungan yang diraih daripada kejutan data inflasi Amerika Syarikat.
Bacaan inflasi pengguna (CPI) yang lebih kuat daripada dijangkakan pada bulan Ogos telah mencetuskan jangkaan baharu buat pelabur untuk melihat kenaikan 100 mata asas dilaksanakan Federal Reserve (Fed).
Hal ini sekali gus mendorong lonjakan drastik buat raja mata wang itu sebaik sahaja data dikeluarkan sebelum harga bergerak mendatar pada Rabu.
Terbitan data inflasi pengeluar membataskan dagangan US dolar untuk menyambung momentum pengukuhan di mana indeks harga pengeluar (PPI) masih melihatkan penurunan walaupun bacaan dicatatkan lebih baik dari sebelumnya.
PPI AS menyusut 0.1% bulan ke bulan pada Ogos daripada penurunan 0.4% yang dicatatkan pada Julai, dengan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kejatuhan dalam harga petrol.
Mencuri tumpuan pelabur, adalah dagangan yen yang kembali mencatat peningkatan selepas Bank of Japan (BOJ) menjalankan semakan kadar sebagai persediaan untuk campur tangan mata wang.
Dalam semakan kadar, pegawai bank pusat akan memanggil peniaga dan meminta harga pembelian atau penjualan yen.
Sementara itu, euro nampaknya masih gagal untuk kembali ke atas harga pariti, menyaksikannya kekal didagangkan mendatar setelah menanggung kerugian ketara susulan data inflasi AS.
Mata wang pound pula sedikit meningkat tetapi dibataskan dengan bacaan data inflasi UK yang tanpa dijangka merosot pada bulan Ogos dengan kenaikan 9.9% daripada 10.1% sebelumnya.