Usai sudah keputusan dasar Federal Reserve (Fed), pelabur kini mengalihkan tumpuan kepada mesyuarat Bank of England (BOE) yang juga akan berlangsung hari ini (sesi New York).
Sama seperti Fed, BOE juga diramal akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada 3% yang juga bakal menjadi kenaikan kadar terbesarnya sejak 1989.
Pergolakan dalam kerajaan telah memusnahkan rancangan dasar BOE susulan rancangan bekas perdana menteri Liz Truss untuk melaksanakan pemotongan cukai besar-besaran bagi merangsang ekonomi.
Malangnya, ia telah mencetuskan panik dalam pasaran sehingga mendorong mata wang pound menjunam ke paras terendah sepanjang masa.
Keadaan kembali mereda apabila Rishi Sunak mengambil alih pimpinan UK yang memberi amaran bahawa cukai perlu dinaikkan.
Bagaimanapun, masalah asas dalam ekonomi Britain kekal membelenggu dengan inflasi pengguna berada di paras tertinggi 40 tahun sebanyak 10.1% pada bulan September dan berkemungkinan akan naik lebih tinggi.
Pada masa yang sama, pertumbuhan semakin perlahan di mana sektor pembuatan dan perkhidmatan susut ke tahap terlemah sejak Januari 2021.
Jadi, apa jangkaan anda untuk keputusan BOE malam ini, 50 mata asas atau 75 mata asas?