Singapura juga tidak ketinggalan menyertai negara Barat, mahu lancarkan sekatan terhadap beberapa entiti tertentu di Rusia.
Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) menyedari satu keperluan untuk menyekat kewangan Rusia – sama ada terhadap bank, organisasi dan aktiviti di Rusia, termasuk pengumpulan dana yang membawa manfaat kepada Rusia sebagai tanda sokongan untuk Ukraine.
Beberapa bank Rusia yang menjadi perhatian MAS termasuklah: VTB Bank Public Join Stock Company, The Corporation Bank for Development and Foreign Economic Affairs Vnesheconombank, Promsvyazbank Public Joint Stock Company, dan Bank Rossiya.
Sekatan terhadap Rusia melibatkan kesemua institusi kewangan di Singapura, termasuk bank, syarikat kewangan, pengeluar insurans, perantara kapital, pertukaran sekuriti, penyedia perkhidmatan pembayaran.
Singapura antara negara terbaharu yang melancarkan sekatan terhadap Rusia selepas kebanyakan negara bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap Rusia yang menceroboh Ukraine.
Sekatan ekonomi yang dilaksanakan terhadap bank-bank, pengeksportan minyak dan ketenteraan membuahkan hasil apabila kewangan negara itu susut mendadak.
Buktinya, nilai mata wang Rusia mencecah $0.006519 bagi seunit ruble. Ia merupakan satu prestasi terburuk sepanjang masa.
Pun begitu, MAS memberi penegasan terhadap penyedia perkhidmatan pembayaran digital untuk tidak terlibat dengan Rusia kerana potensi untuk negara itu mengelak daripada sekatan ekonomi sangat tinggi.