Setelah mendengar pelbagai desakan, Kesatuan Eropah (EU) akhirnya merancang tindakan segera untuk meredakan kenaikan harga tenaga dan pelan memperbaharui pasaran elektrik.
Perkara tersebut diumumkan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Isnin dalam ucapan di Sidang Kemuncak Strategik Bled di Slovenia.
Ujar von der Leyen, harga elektrik yang melambung tinggi kini mendedahkan batasan dalam pasaran eletrik semasa Eropah.
Ia dibangunkan untuk keadaan dan tujuan yang sama sekali berbeza. Itulah sebabnya mereka kini sedang mengusahakan campur tangan kecemasan dan pembaharuan struktur pasaran elektrik.
Menteri tenaga dari negara anggota EU akan mengadakan rundingan segera di Brussels mengenainya pada 9 September.
Dalam pada itu, Ursula von der Leyen juga berkata pembaharuan penuh pasaran elektrik Eropah perlu dilakukan dengan betul dan secara teknikal pada awal tahun depan.
Setakat ini, Suruhanjaya Eropah masih belum menerbitkan pelan terperinci untuk pembaharuan pasaran, tetapi beberapa negara anggota seperti Itali dan Belgium telah mendesak had sementara pada harga gas borong.
Pegawai EU juga sedang mempertimbangkan langkah untuk mengasingkan penetapan harga elektrik daripada harga gas dan mengambil kira sumber tenaga lain.
Pada masa yang sama, beberapa negara anggota telah melancarkan langkah pengurangan harga mereka sendiri, tetapi Brussels percaya bahawa kerjasama dengan EU akan lebih berkesan.