Pasaran mata wang terus memaparkan aksi menyuramkan dengan dagangan yang bercampur-campur pada awal minggu.
Ini diperlihatkan pada pergerakan US dolar yang mencatat penurunan pada sesi Asia dan Eropah (Isnin) sebelum meningkat semula pada sesi New York.
Menjadi tumpuan pasaran pada sesi Asia hari ini adalah terbitan laporan minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) dan mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ).
Dolar Aussie sedikit merosot selepas minit menunjukkan bahawa penggubal dasar buat pertama kali mempertimbangkan untuk menghentikan sementara (pause) kenaikan kadar faedah pada mesyuarat Disember.
Namun, akhirnya bank pusat memutuskan untuk menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 3.10%.
Sementara itu, pasaran kini menantikan mesyuarat polisi BOJ yang dijangkakan secara meluas akan menyaksikan kadar faedah kekal tidak berubah pada -0.10%.
Namun, sebarang petunjuk atau perubahan dalam kenyataan penggubal dasar dapat mempengaruhi pergerakan mata wang yen yang kini merosot berbanding US dolar.
Beralih kepada mata wang Eropah, pound dan euro didagangkan rendah selepas gagal mempertahankan keuntungan yang diraih pada pembukaan dagangan sebelum ini berikutan ketiadaan pemangkin utama untuk merangsang pergerakan mata wang itu.
Di sisi lain, dolar Kanada sedikit berubah menjelang penerbitan data jualan runcit Kanada untuk bulan Disember pada sesi New York.