Emas kembali memadamkan keuntungan dengan jatuh di bawah paras harga $2,000 ketika hasil perbendaharaan AS meningkat manakala pelabur memilih aset berisiko di tengah-tengah kemerosotan harga minyak mentah menjadikan logam kuning itu kurang menarik.
Penyusutan yang dicatatkan harga emas boleh dikaitkan dengan kesediaan Ukraine untuk berkompromi dalam rundingannya bersama Rusia yang dilihat boleh membantu mengurangkan konflik geopolitik.
Logam berharga itu berundur lebih jauh dari paras tertinggi 19 bulan dengan susut 0.8% ke sekitar harga $1,795 per auns selepas merosot kira-kira 3% pada sesi sebelumnya. Ini juga merupakan kejatuhan harian terbesar sejak Januari 2021.
Penanda aras hasil bon terus menunjukkan peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut dengan pelabur kini menanti penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada sesi New York.
Dengan jangkaan peningkatan 7.8% pada bulan Februari, pengeluaran data ini bakal memberi impak kepada pergerakan logam kuning emas yang dianggap sebagai lindung nilai inflasi.
Sementara itu, beberapa negara anggota OPEC+ seperti Iraq telah menawarkan untuk meningkatkan pengeluarannya bagi mengurangkan kebimbangan terhadap bekalan minyak yang ketat. Hal ini sekali gus mendorong harga minyak jatuh ketara dan mendorong pelabur beralih ke aset berisiko.