Pengumuman Presiden Rusia Vladimir Putin telah memecah kesunyian dalam pasaran mata wang yang berwaspada menjelang keputusan mesyuarat polisi bank-bank pusat utama.
Tindakan Rusia untuk mengerahkan separa tenteranya pada Rabu telah mencetuskan risiko baharu dalam pasaran.
Ini menyebabkan kebanyakan mata wang utama merosot lebih rendah, dan dagangan safe-haven pula melonjak.
Hasilnya, raja mata wang US dolar yang juga dianggap safe-haven telah mencapai puncak ketinggian terbaharu 20 tahun dengan indeks dolar meningkat pada 110.86, sebaik sahaja laporan mengenai pengisytiharan itu dikeluarkan.
Sementara dagangan emas dan yen juga mencatat peningkatan, namun pergerakan kedua-duanya terbatas berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Mata wang euro pula tergelincir ke paras terendah dua minggu, tidak jauh dari tahap terlemah 20 tahun yang disentuhnya pada awal bulan ini.
Pound juga terseret ke dasar terendah baharu 37 tahun berbanding US dolar disebabkan pengumuman tersebut, ketika tumpuan pelabur terus tertumpu pada mesyuarat Bank of England (BOE).
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand hanya memaparkan sedikit reaksi dengan kekal didagangkan suram di paras terendah 2 setengah tahun berbanding dolar greenback.