Tanpa membuang banyak waktu, US dolar kembali mengukuhkan semula kedudukannya dalam pasaran kewangan.
Tidak mengejutkan para pelabur kerana sudah dijangkakan untuk US dolar akan kembali ‘meletup’ semula, namun pengukuhan raja mata wang itu tampaknya berlaku lebih awal berbanding jangkaan selepas memaparkan penyusutan pada reaksi awal pada mesyuarat FOMC.
Tumpuan buat US dolar kini akan terarah kepada laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) untuk bacaan bulan April yang akan diterbitkan pada sesi New York hari ini.
Sementara, tumpuan semalam adalah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat England semalam.
Bank of England (BOE) menepati ramalan untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 1.00%, namun apa yang berlaku pada Pound mengecewakan para pelabur.
Situasi sama berlaku seperti mesyuarat FOMC, walaupun kadar faedah diumumkan meningkat namun BOE telah memberi amaran terhadap risiko kemelesetan ekonomi di Britain.
Malah langkah BOE yang telah mengurangkan unjuran pertumbuhan untuk tahun 2023 dan 2024 telah mengundang reaksi negatif pelabur menyaksikan penyusutan ketara nilai mata wang Pound di sesi New York semalam.
Selain itu, untuk perkembangan semasa pasaran, prestasi Wall Street merosot sementara hasil bon kerajaan AS melonjak ke paras tertinggi 4 tahun.
Perkembangan pasaran komoditi, negara-negara pengeksport petroleum (OPEC+) bersetuju untuk meningkatkan bekalan minyak mentah kepada 423 tong sehari pada Jun untuk mengawal harga minyak yang tinggi.
Sementara komoditi emas pula menyaksikan penyusutan nilai logam kuning tersebut di bawah paras $1,900 per auns, gagal mengekalkan lonjakan nilainya selepas FOMC.