Syarikat pembayaran terbesar di dunia, Visa Inc dilaporkan telah membatalkan perjanjian kad kredit global bersama exchanger kripto FTX yang kini mengalami krisis kejatuhan.
Menurut jurucakap Visa, pihaknya akan menyelidik serta mengawasi perkembangan FTX setelah kejadian buruk yang ditimpa syarikat tersebut turut mengakibatkan Visa menerima tempias.
Tambahnya lagi, Visa menetapkan pendiriannya untuk menamatkan kontrak bersama FTX serta memberhentikan program kad debit Amerika Syarikat (AS) oleh pengeluarnya.
Difahamkan bahawa sebelum ini FTX dan Visa merancang untuk memperkenalkan kad debit Visa berkaitan akaun di 40 negara baharu, namun matlamat mereka tidak kesampaian selepas kejadian yang menimpa exchanger kripto tersebut.
Dalam berita berasingan, Miami Heat dan Miami-Dade County NBA turut melakukan tindakan yang serupa dengan menamatkan perjanjian bersama FTX.
Langkah tersebut dibuat ekoran mereka meluahkan kekecewaannya apabila FTX memfailkan muflis tanpa melakukan sebarang usaha untuk memulihkan kembali masalah tersebut.
Rentetan itu, pasukan bola keranjang tersebut berhasrat menukar rakan kongsi baharu untuk arenanya di pusat bandar Miami agar program seperti pelan ‘Peace and Prosperity’ dapat dibiayai sepenuhnya.
Disebabkan perjanjian 19 tahun bernilai $135 juta itu pula, gelanggang bagi perlawanan diantara Heat dan Charlotte Hornets masih dipanggil Arena FTX , tetapi papan tanda dan nama akan ditukar dalam tempoh terdekat ini.
Diperjelaskan juga bahawa kebanyakan syarikat exchanger kripto seperti FTX telah mengeluarkan sejumlah besar dana untuk melabur dalam pasukan sukan demi memperoleh pelbagai kepentingan untuk kedua-dua pihak, namun sebaliknya berlaku apabila timbulnya sesuatu kesulitan.
Dalam pada itu, pembatalan perjanjian tersebut dilaporkan telah dibuat sejurus selepas FTX memfailkan perlindungan kebankrapan Bab11 ekoran syarikat tersebut tidak mampu menampung akaun disebabkan para pelanggan berpusu-pusu mengeluarkan dana masing-masing.