Emas bergerak mendatar pada sesi dagangan Selasa, mengekalkan keuntungan yang diraih susulan penyusutan US dolar pada Jumaat lalu.
Pada sesi Asia, logam kuning itu didagangkan berlegar pada sekitar harga $1,650 per ans, manakala niaga hadapan emas sedikit berubah pada $1,653 per auns.
Situasi berubah dengan ketara buat dagangan emas yang sebelumnya susut ke paras terendah sejak April 2020, menyaksikannya kembali melonjak susulan kemerosotan dalam dagangan US dolar.
Turut menambah duka buat raja mata wang itu adalah penerbitan data ekonomi Amerika Syarikat yang menunjukkan bacaan mengecewakan pada bulan September.
Kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan berada dalam penguncupan pada bulan Oktober, menyaksikan aktiviti perkilangan merosot ke paras terlemah sejak Jun 2020.
Sementara sektor perkhidmatan pula turut mencatat penguncupan selepas pembekal perkhidmatan melaporkan penurunan keluaran kedua terbesar dalam tempoh hampir dua setengah tahun.
Ini menyebabkan US dolar terus melemah dan memberi sokongan buat emas untuk bangkit daripada paras terendahnya.
Sungguhpun begitu, jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) yang selanjutnya terus membataskan pergerakan emas daripada menokok lebih tinggi.