Pembacaan data inflasi pengeluar Amerika Syarikat terus membantutkan dagangan US dolar menuju penghujung minggu, menyaksikan raja mata wang itu kekal didagangkan sekitar paras terendah berbanding pesaing utama.
Indeks harga pengeluar (PPI) AS tanpa dijangka merosot 0.5% pada bulan Julai daripada 1.1% yang dicatatkan pada Jun.
Pada asas tahunan pula, PPI dilaporkan meningkat 9.8% pada bulan lalu, menurun daripada catatan peningkatan 11.3% sebelumnya.
Terdahulu, US dolar telah mencatatkan kemerosotan terbesarnya dalam tempoh lima bulan sehingga mendorongnya jatuh ke paras terlemah 6 minggu berikutan bacaan inflasi pengguna yang juga menyuramkan.
Harga pengguna AS dilaporkan tidak berubah pada asas bulanan, dan meningkat lebih perlahan daripada dijangkakan pada 8.5% tahun ke tahun pada bulan Julai daripada bacaan terdahulu 9.1%.
Bagaimanapun, hasil bon AS yang kembali meningkat dan kegoyahan dalam pasaran saham pada sesi New York telah membantu dolar greenback untuk sedikit pulih walaupun masih didagangkan di sekitar paras terendah.
Sementara itu, mata wang euro kekal diniagakan lebih tinggi selepas sekali lagi menyentuh puncak tertinggi 5 minggu berbanding US dolar pada sesi sebelumnya.
Mata wang pound pula sedikit susut di tengah-tengah kewaspadaan pelabur menjelang data pertumbuhan ekonomi UK untuk bulan Julai dan suku kedua pada sesi Eropah nanti.
Mata wang komoditi, dolar Aussie, kiwi dan loonie pulaterus mengekalkan momentum pengukuhan untuk diperdagangkan lebih tinggi berbanding dolar greenback.