Perlahan-lahan emas kembali mendaki menghampiri paras ketinggian satu bulan setelah memanfaatkan dagangan US dolar dan hasil bon AS yang lemah.
Sesi pasaran Asia menyaksikan logam kuning itu didagangkan menguat pada $1,790 per auns manakala niaga hadapan emas pula lebih tinggi pada $1,805 per auns.
Dagangan dolar Amerika terus bergelut untuk mencatat peningkatan menjelang terbitan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada hari ini yang dijangkakan terus mengukuh walaupun terdapat penurunan dalam pertambahan pekerjaan.
Hasil bon AS 10 tahun juga kembali merosot di tengah-tengah prospek pertumbuhan ekonomi yang menyuramkan.
Ini susulan kenyataan daripada pembuat dasar Federal Reserve (Fed) Loretta Mester yang mengatakan risiko kemelesetan telah meningkat di AS.
Menambahkan lagi kebimbangan adalah apabila Bank of England (BOE) memberi amaran bahawa ekonomi UK akan berada dalam kemelesetan pada tahun ini selepas ia meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas untuk memerangi inflasi.