Pasaran ekuiti awal minggu memperlihatkan pergerakan lemah dengan saham Asia bercampur tatkala aset berisiko di Amerika Syarikat (AS) junam ketika penutupan.
Permulaan sesi dagangan Isnin Asia Pasifik menyaksikan ekuiti bercampur apabila pelabur menantikan keputusan tinjauan aktiviti sektor perkhidmatan swasta di China.
Difahamkan indeks Pengurusan Pembelian Perkhidmatan Caixin China akan diterbitkan hari ini dengan pertumbuhan Julai mencatat 55.5 sementara bacaan PMI rasmi bukan perkilangan Ogos pada 52.6.
Lantaran itu, Nikkei 225 Jepun jatuh 0.2% sementara Topix turun 0.3% tatkala Kospi Korea Selatan naik 0.35% dan Kosdaq susut 0.3%.
Indeks S&P/ASX 200 Australia naik 0.25% sementara tolok meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun didagangkan lemah.
Beralih ke Wall Street, ketika sesi penutupan Jumaat lepas kesemua indeks-indeks utama saham AS menyusut dengan data pekerjaan NFP bulan Ogos meningkat pada 315,000.
Perkara tersebut secara tidak langsung mengukuhkan lagi jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan melaksanakan kenaikan kadar yang lebih agresif 75 mata asas dalam membendung inflasi yang memuncak.
Ulas ANZ Research, pasaran aset mulanya memulih dengan peningkatan kadar pengangguran AS beri potensi keredaan inflasi namun berita Gazprom yang tidak rancang buka semula Nord Stream 1 menerbalikkan keadaan.