Dagangan minyak mentah kembali melantun selepas menyaksikan penurunan tidak dijangka dalam laporan bekalan minyak Amerika Syarikat dengan tumpuan pelabur masih lagi terarah kepada perbincangan nuklear antara AS dan Iran.
Data rasmi daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menunjukkan inventori minyak mentah AS susut sebanyak 4.8 juta tong pada minggu lepas, jatuh ke paras terendah untuk bekalan komersial sejak Oktober 2018.
Menurut EIA lagi, produk AS yang dibekalkan memuncak pada 21.9 juta tong sehari sejak empat minggu lalu disebabkan aktiviti ekonomi yang kukuh di seluruh negara.
Menuju pembukaan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent stabil pada sekitar harga $91.20 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula menguat pada $89.35 setong.
Namun, pelabur kini memerhati dengan teliti hasil rundingan nuklear AS-Iran yang disambung semula pada minggu ini. Sekiranya positif, perjanjian tersebut boleh menarik semula sekatan AS ke atas minyak Iran dan mengurangkan kesesakan bekalan global.
Sementara itu dalam laporan berasingan, Jepun dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah selanjutnya untuk membantu meredakan kenaikan mendadak harga bahan api dan meringankan kesannya ke atas kehidupan rakyat dan aktiviti ekonomi.
Ini sedikit sebanyak membantutkan harga minyak dari meneruskan kenaikan lebih tinggi pada sesi dagangan hari ini.