‘Dengan kuasa seorang wanita, paradigma England mungkin akan berubah.’
Semalam secara sahnya United Kingdom (UK) menyaksikan Liz Truss memenangi undian ahli Parti Konservatif dengan 81,326 sokongan mengatasi Rishi Sunak pada 60,399 sokongan.
Namun belum lagi naik secara rasmi sebagai Perdana Menteri UK, Truss telah mencetus kekacauan dengan pelan tindakannya yang agak bercanggah dengan rancangan Bank of England (BOE) dalam mengawal inflasi.
Diterjemahkan ahli ekonomi sebagai ‘Trussonomic’, pelan tindakan Truss bukan sahaja melibatkan pemberian subsidi tenaga yang besar malah beliau merancang untuk mengurangkan cukai-cukai.
Dalam ucapannya sebagai memenangi sokongan parti yang diwakili, Truss berikrar untuk merealisasikan pelan pengurangan cukai dan mengembangkan ekonoi dalam tempoh 2 tahun selain berusaha menangani bil tenaga rakyat ekoran isu bekalan tenaga.
Ia mungkin kedengaran seperti manifesto biasa namun pelan tersebut agak bercanggah dengan dasar monetari BOE dan boleh mencetus perang perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Sungguhpun begitu apa yang pasti cabaran Truss sebaik menjawat peranan Perdana Menteri adalah untuk menyelesaikan krisis kenaikan harga tenaga yang diapit tekanan inflasi serta kadar faedah termasuk kemungkinan kemelesetan.
Kembali ke berita asal, Truss akan bertemu dengan Ratu Elizabeth pada hari ini bersama bekas Perdana Menteri, Boris Johnson.
Johnson akan menyerahkan peletakan jawatanya sementara Truss pula akan meminta perkenan Ratu untuk membentuk kerajaan baru.