US dolar kekal stabil apabila pasaran melangkah masuk ke sesi Eropah dengan bergerak lebih tinggi berbanding mata wang yen susulan pengukuhan dalam hasil bon AS 10 tahun.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan positif pada sekitar harga 101.95.
Raja mata wang itu telah merosot ke paras terendah satu bulan pada Isnin apabila inflasi AS dan penunjuk ekonomi lain menunjukkan tanda-tanda memuncak di tengah-tengah pengetatan dasar agresif Federal Reserve (Fed).
Namun begitu, jangkaan tersebut kembali goyah selepas Zon Eropah mencatatkan kenaikan harga lebih tinggi pada bulan Mei, yang menandakan bahawa tekanan inflasi masih berlegar dalam ekonomi.
Ini mendorong US dolar untuk kembali meraih kekuatan dengan harapan Fed akan meneruskan kenaikan kadar faedah pada tahun ini, lebih-lebih lagi selepas Pengerusi Jerome Powell mendapat kebebasan daripada Presiden Joe Biden untuk menangani inflasi.
Walaupun USD mencatat peningkatan, tetapi kebanyakan mata wang utama lain masih didagangkan stabil dan mengehadkan penurunan daripada merosot lebih jauh.
Euro bergelut untuk mempertahankan kedudukannya pada harga 1.0700 manakala mata wang pound bertahan dengan diniagakan di bawah paras harga 1.2600 berbanding US dolar.
Dolar Aussie pula positif selepas diperlihatkan dengan data pertumbuhan ekonomi Australia pada suku pertama yang melebihi jangkaan pasaran meskipun bacaan yang dicatatkan lebih perlahan berbanding sebelumnya.
Dolar Kanada pula mengukuh menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat Kanada (BOC) yang dijangka akan meningkatkan kadar faedah sekali lagi, selain turut disokong oleh dagangan minyak mentah yang tinggi.
Selain itu, pelabur juga akan diperlihatkan dengan penerbitan PMI pembuatan AS tinjauan ISM pada sesi New York yang diramalkan lebih perlahan pada bulan Mei.