Raja mata wang US dolar didagangkan mendatar ketika pelabur menantikan penerbitan data-data penting Amerika Syarikat dan ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell.
Data berimpak tinggi, laporan pekerjaan ADP sektor swasta AS bakal menjadi tumpuan pelabur untuk dijadikan petunjuk kepada data NFP yang akan dikeluarkan pada Jumaat.
Turut mencuri tumpuan adalah terbitan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS untuk suku ketiga yang merupakan anggaran awal bagi menilai tahap kesihatan ekonomi nombor satu dunia itu.
Namun, acara yang paling menjadi fokus pasaran adalah ucapan Jerome Powell untuk mendapatkan isyarat terbaharu mengenai penetapan dasar monetari yang seterusnya.
Terdahulu pada sesi Asia, pelabur telah diperlihatkan dengan keluaran data pembuatan dan bukan pembuatan China yang menunjukkan kejatuhan untuk bulan ketujuh berturut-turut.
Data tersebut juga menunjukkan aktiviti perniagaan di ekonomi gergasi kedua dunia itu menguncup pada kadar yang terpantas.
Sungguhpun begitu, dolar Aussie dan New Zealand yang sensitif dengan pertumbuhan China, didagangkan meningkat berikutan optimisme untuk pembukaan semula sekatan di negara itu.
Sementara itu, mata wang euro dan pound sedikit meningkat dengan masing-masing memanfaatkan dagangan US dolar yang menyuramkan menjelang terbitan data dan ucapan Powell.
Dalam pada itu, junaman ketara dagangan dolar Kanada mendapat perhatian pelabur apabila dilaporkan bahawa Royal Bank of Canada (RBC) telah mencapai kesepakatan untuk membeli HSBC Bank Canada yang mempengaruhi sentimen di Kanada.