Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) melontarkan amaran bahawa ekonomi UK akan mengalami impak lebih besar daripada krisis tenaga global berbanding negara maju lain.
Menurut laporan terbaru yang dikeluarkan, ia meramalkan penguncupan yang dialami Britain lebih buruk daripada negara lain dalam G7 pada tahun depan.
OECD meramalkan ekonomi UK akan merosot sebanyak 0.4% pada 2023 disusuli pertumbuhan yang perlahan pada 2024 dengan catatan hanya 0.2%.
Sungguhpun begitu, ramalan ini sebenarnya lebih baik daripada jangkaan Pejabat Tanggujawab Belanjawan (OBR) UK yang mengunjurkan penyusutan 1.4% pada 2023.
Dalam pada itu, unjuran menyuramkan oleh Bank of England (BOE) awal bulan ini mengatakan kemelesetan di UK mungkin berlanjutan selama dua tahun.
Berbalik kepada tajuk asal, OECD menyatakan perang di Ukraine telah menjejaskan ekonomi secara tidak sekata, di mana negara-negara Eropah menanggung kesan lebih besar terhadap perniagaan, perdagangan dan lonjakan harga tenaga.
G7 yang termasuk Amerika Syarikat, UK, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun, mungkin akan melihat pertumbuhan yang lemah.
Namun Jerman adalah antara ekonomi utama selain UK diunjurkan mencatat penguncupan, kata OECD.