Jualan runcit di UK tanpa dijangka menunjukkan kejatuhan pada bulan Februari apabila penamatan sekatan coronavirus menyaksikan rakyat Britain mengubah corak perbelanjaan mereka.
Data yang dikeluarkan Pejabat Statistik Negara (ONS) memaparkan penguncupan sebanyak 0.3% dalam jualan runcit UK pada bulan lalu daripada 1.9% yang dicatatkan sebelumnya. Bacaan juga tersasar jauh dari jangkaan untuk meningkat 0.6%.
Secara tahunan, jualan runcit UK meningkat sebanyak 7%, juga meleset dari jangkaan kenaikan 7.8% dan jatuh daripada catatan 9.4% pada Januari. Sementara jualan runcit teras pula hanya meningkat 4.6% daripada 7.5% sebelumnya.
Penurunan ini dipengaruhi oleh kemerosotan dalam jualan bukan kedai dan di kedai makanan. Pada masa yang sama, jualan pakaian meningkat apabila lebih ramai orang kembali ke pejabat, sementara kadar jualan dalam talian jatuh ke paras terendah sejak Mac 2020.
Jualan tidak termasuk bahan api jatuh 0.7% pada bulan itu, menurut ONS, dan lebih banyak penurunan dalam perbelanjaan mungkin berlaku apabila pengguna menghadapi krisis kos sara hidup.
UK, yang sebelum ini telah pun terkesan dengan lonjakan inflasi yang tinggi, terus dalam penderitaan apabila perang Ukraine-Rusia menimbulkan ketidakpastian baharu terhadap ekonomi negara itu.