Dagangan US dolar kekal mempamerkan dominasi dalam suasana pasaran yang berisiko dengan permintaan terhadap safe-haven yang terus meningkat.
Dengan indeks dolar yang terus meningkat pada Selasa, semakin memberi tekanan terhadap pergerakan bagi mata wang utama yang lain dalam pasaran kewangan menyaksikan kebanyakannya mengalami susut nilai.
Data tinjauan ZEW ekonomi Eropah yang bakal diterbitkan akan mempengaruhi pergerakan mata wang Euro, namun dilihat agak sukar untuk mengatasi pengukuhan yang dipaparkan oleh US dolar buat waktu ini.
Seperti yang dibimbangkan terhadap penularan varian Omicron baru di China, dilaporkan langkah sekatan pergerakan telah dilaksanakan di bandar Wugang di wilayah Henan.
Pemain pasaran semakin gelisah menjangkakan Shanghai juga akan berdepan situasi ‘lockdown’ ekoran angka kes jangkitan harian semakin meningkat.
Sementara perkembangan di Eropah semakin kritikal dengan krisis tenaga di mana Menteri Ekonomi Jerman, Robert Habeck berpandangan bahawa sukar untuk saluran paip gas Nord Streal 1 akan beroperasi semula selepas dibaikpulih.
Dengan US dolar yang semakin memacu pasaran, pelabur sedang menantikan terbitan bagi data inflasi Amerika Syarikat (AS) serta beberapa lagi data ekonomi penting yang akan mempengaruhi keputusan penetapan dasar monetari Federal Reserve (Fed).
Fed dilihat masih berada pada landasan pengetatan dasarnya dengan jangkaan langkah kenaikan kadar bakal diteruskan sehingga ke penghujung 2022.
Situasi ini juga turut memberi kesan buruk terhadap dagangan komoditi emas yang mempersembahkan prestasi suram awal minggu ini dengan kejatuhan nilai yang hampir mencecah $1,720.