Pembukaan pasaran di awal minggu ini kekal menyaksikan US dolar bergerak lemah dengan tumpuan terarah terhadap terbitan data inflasi New Zealand yang mencatatkan lonjakan ke paras tertinggi 32 tahun.
US dolar mula menunjukkan penyusutan pada penghujung dagangan minggu lalu dengan penganalisis pasaran menilai situasi yang berlaku adalah didorong oleh aktiviti pengambilan keuntungan (profit-taking).
Justeru, dalam sentimen pasaran yang masih dinilai berisiko (risk-off), US dolar kekal memiliki kelebihan untuk kembali mengukuh semula di samping jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) akan terus menaikkan kadar faedah pada mesyuarat polisi yang terbaru.
Ahli Fed telah memberi isyarat untuk kemungkinan kadar faedah dinaikkan untuk 75 mata asas pada mesyuarat penghujung Julai ini, menjadikan kenaikan 75 mata asas dua kali mesyuarat berturut-turut.
Pemain pasaran turut meletakkan keyakinan terhadap pelaksanaan tersebut ekoran bacaan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang kekal di paras yang tinggi.
Namun, Fed menolak jangkaan untuk kenaikan sehingga 100 mata asas seperti yang telah dilaksanakan oleh Bank of Canada (BOC) minggu lalu.
Dengan penyusutan sementara US dolar, kebanyakan mata wang utama lain dalam pasaran memanfaatkan ruang untuk peningkatan nilai sejak penghujung minggu lalu, namun pelabur akan berwaspada untuk kebarangkalian perubahan arah pergerakan harga semula pada minggu ini.
Selepas jatuh di bawha paras $1.00 berbanding US dolar, mata wang Euro mempunyai potensi untuk meningkat semula susulan jangkaan kenaikan kadar faedah bakal dilaksanakan oleh European Central Bank (ECB) pada mesyuarat polisi minggu ini, menjadi kenaikan kadar yang pertama untuk tempoh lebih 1 dekad.
Namun, faktor risiko kenaikan harga gas di Eropah berkenaan tekanan isu saluran paip Nord Stream 1 dilihat akan menghadkan peningkatan Euro minggu ini.
Pound pula akan menantikan terbitan laporan data pekerjaan UK serta data inflasi UK yang akan menjadi tumpuan bank pusat England (BOE) untuk mesyuarat polisi di awal Ogos nanti untuk pelabur menilai pergerakan selanjutnya.
Mata wang pulangan tinggi seperti dolar Australia mengekalkan peningkatan berbanding US dolar pada sesi Asia di awal minggu ini.
Begitu juga dolar New Zealand yang masih mengekalkan kenaikan nilainya setelah disokong oleh terbitan data inflasi New Zealand yang melonjak ke paras tertinggi lebih 3 dekad untuk bacaan suku kedua 2022.