US dolar tampaknya kembali meraih kekuatan untuk meningkat pada sesi dagangan Selasa selepas melalui cuti hujung minggu yang panjang berikutan Hari Peringatan di Amerika Syarikat.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback diperdagangkan 0.3% lebih tinggi pada sesi Asia.
Peningkatan ini turut menyusuli kenaikan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang kembali bangkit dari paras terendah hampir satu bulan.
Risiko kembali menghantui mata wang euro susulan keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang telah bersetuju untuk menyekat minyak Rusia yang dihantar melalui kapal tangki tetapi mengekalkan penghantaran melalui saluran paip.
Keputusan ini dibuat sebagai kompromi kepada Hungary yang sebelum ini tidak bersetuju dengan cadangan EU untuk mengharamkan minyak Rusia kerana ia akan memberi impak besar ke atas ekonominya.
Susulan keputusan ini, Hungary tetap akan memperoleh minyak Rusia dengan penghantaran melalui saluran paip Druzhba.
Euro didagangkan susut pada sesi Asia, tetapi tekanan inflasi yang meningkat di Zon Eropah membantu mengehadkan penurunan mata wang itu. Indeks harga pengguna (CPI) tahunan Jerman melonjak ke 7.9% pada Mei, iaitu paras tertinggi sejak 1973.
Sementara itu, mata wang pound turut mencatat penyusutan susulan kebangkitan US dolar, meletakkan harga terbatas pada sekitar harga 1.2600 pada sesi Asia.