Kemerosotan dolar greenback pada sesi Eropah telah memberi peluang kepada pesaing utamanya untuk kembali meningkat.
Pada sesi sebelum ini, raja mata wang itu telah mencapai paras tertinggi tiga minggu berbanding yen susulan peningkatan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun.
Namun, momentum pengukuhan US dolar kembali goyah apabila pasaran melangkah masuk ke sesi Eropah, mendorong kebanyakan mata wang utama untuk mencatat peningkatan.
Penyusutan ini mungkin disebabkan kewaspadaan pelabur menjelang penerbitan data pekerjaan sektor swasta ADP Amerika Syarikat pada sesi New York akan memberi petunjuk kepada bacaan laporkan NFP pada Jumaat.
Pekerjaan dalam sektor swasta AS diunjurkan bertambah sebanyak 295,000 pada bulan Mei, manakala jumlah tuntutan pengangguran pada minggu lepas pula dijangka mengalami peningkatan sama dengan minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 210,000.
Susulan penurunan ini, mata wang euro mendapat sedikit keuntungan untuk kembali bangkit dari kejatuhan yang dicatatkan pada Rabu.
Penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB), Francois Villeroy de Galhau terus mengulangi kenyataan hawkishnya bahawa penormalan dasar diperlukan kerana inflasi di Zon Eropah terlalu tinggi dan semakin meluas.
Dagangan mata wang komoditi juga mengukuh, memperlihatkan dolar Kanada stabil di paras ketinggian satu bulan ketika pelabur kini menantikan keputusan OPEC yang akan memberi tanda-tanda bahawa kartel itu akan menaikkan pengeluaran susulan sekatan yang dikenakan ke atas Rusia.