Hanya beberapa jam sahaja lagi data inflasi Amerika Syarikat akan dikeluarkan, dan US dolar masih memaparkan pergerakan perlahan menandakan kewaspadaan pelabur menghiasi pasaran.
Bagaimanapun, raja mata wang itu didagangkan sedikit lebih tinggi berbanding pesaing utama yang disokong oleh sentimen berisiko.
Situasi Covid-19 di China yang bertambah buruk membuatkan mata wang sensitif risiko seperti dolar Aussie dan New Zealand berundur daripada keuntungan yang dicatatkan sebelum ini.
Mengikuti perkembangan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, Republikan semakin hampir untuk mendapatkan majoriti dalam Dewan Rakyat.
Sementara kawalan Senat pula bergantung pada keseimbangan, selepas Demokrat menunjukkan prestasi yang cukup baik untuk menghentikan ‘gelombang merah’ Republikan.
Dalam pada itu, tumpuan pelabur terus terarah kepada pengeluaran data inflasi AS pada sesi New York yang dijangka akan mencatat penurunan pada bulan Oktober.
Melihat pergerakan semasa mata wang Eropah, pound didagangkan mendatar di tengah-tengah kewaspadaan pelabur, menyaksikannya berlegar pada 1.1390 berbanding US dolar.
Euro pula susut, gagal mempertahankan kedudukan pada paras harga pariti $1, dengan pelabur masih berpegang pada keyakinan bahawa Bank Pusat Eropah (ECB) akan meneruskan kenaikan kadar faedah.